LATIHAN 1
Setiap murid mempunyai cita-cita
tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan
dalam peperiksaan.
Huraikan langkah-langkah yang
perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Tidak dapat dinafikan bahawa
setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya
murid-murid berusaha bersungguh-sungguh
untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah
untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya menganggap perkara ini
sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan
menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu, murid-murid janganlah
menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan bak kata orang tua-tua “sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tiada berguna”. Oleh
sebab itu, saya sebagai salah seorang murid,
saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang sepatutnya saya lakukan untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?
Langkah yang pertama yang akan
saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah saya akan
sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik darjah.
Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar sudah
tentulah sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda
saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “ lima puluh
peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan
sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan.
Saya juga akan terlibat secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran
sedang dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria supaya
saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat
mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya
sebut atau yang saya ulangi. Saya juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang
diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan
tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat
sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang fahami kerana berdasarkan satu kajian
yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan
pelajar-pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang
sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk
yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya, memberi tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar dan
dengan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru merupakan
salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Selain itu, saya akan menguruskan
masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas
sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian
kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para
pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang
mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap
sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu
belajar yang telah saya tetapkan dengan apabila peperiksaan sudah hampir kerana
peribahasa menyatakan bahawa sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula,
kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang
telah membuat persiapan awal. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat
persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang masa dan tidak berpegang
kepada pepatah “masa itu emas” dan “masa yang lalu tidak akan kembali” maka
mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan.
Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk
membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan yang akan saya duduki nanti.
Pada waktu yang sama, untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan membuat lebih banyak latihan
dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara berterusan. Ungkapan yang
dipetik daripada Bahasa Inggeris iaitu, “practice makes perfect”. Kalau
ungkapan ini ditukarkan ke dalam Bahasa Melayu, maka ungkapannya akan menjadi,
“praktis asas kecemerlangan”. Kedua-dua ungkapan ini membawa maksud yang sama
iaitu jikalau seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan mencapai
kecemerlangan dalam hidup.saya akan membuat latihan bagi setiap mata pelajaran
setelah selesai mengulang kaji sesuatu topik. Hal ini kerana saya akan lebih
menguasai sesuatu topik dan secara tidak langsung saya akan biasa dengan
jenis-jenis soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan. Saya juga akan membuat
ulang kaji secara berterusan bak kata pepatah “ sehari selembar benang,
lama-lama menjadi kain” dan “ sedikit-sedikit , lama-lama jadi bukit”. Saya
akan belajar bersungguh-sungguh dan saya akan membuat ulang kaji secara
berterusan untuk memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran dan
terutamanya dalam mata pelajaran sains. Tegasnya, saya membuat lebih banyak
latihan dan jika saya mengulang kaji pelajaran secara berterusan, pasti saya
akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.
Seterusnya, saya akan
mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru-guru di sekolah,
bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi
saya juga perlulah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di
sekolah kerana bak kata pepatah “malas berkayuh perahu hanyut”, “segan bertanya
sesat jalan”. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh
guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang
mengajar di kelas tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu
diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga akan menguasai
sesuatu topik itu. Contohnya, di sekolah yang diajar topik yang sama yang telah
diajar di pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping
itu, saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya
untuk mencapai kecemrlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala
program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa
Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya
saya menyertai dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya
akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan
ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program-program
sekolah dan mengikuti kelas-kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi
saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Langkah yang berikutnya ialah
saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa. Saya tidak akan
dapat cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali pertama dan
kedua, malah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus dalam sesuatu
perkara kerana saya berpegang pada prinsip, “gagal sekali tidak bermakna gagal
selama-lamanya”. Saya juga akan tabah apabila terdapat apa-apa masalah atau
cabaran yang saya hadapi. Seseorang yang ternama pernah menyatakan bahawa jika
seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah memenuhi kegagalan
beberapa kali kerana untuk mencapai sesuatu tentu ada kekangan yang akan kita
tempuhi. Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan,
saya tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba beberapa kali sehingga saya
mendapat penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam
menghadapi halangan dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan
sayatidak akan mudah putus asa untuk memperoleh kecemerlangan dalam
peperiksaan.
Akhir sekali, saya juga akan
mematuhi segala nasihat daripada kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan
sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang tua-tua, “Tuhan hanya akan menolong
dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa”, Kenyataan ini pasti benar
kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa
patuh pada nasihat dan asuhan ibu bapa kerana saya sedar bahawa syurga terletak
di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu bapa saya akan selalu menasihati saya untuk
belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk
memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu
walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekali pun, saya tidak mungkin dapat
memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan
dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa
berdoa kepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan
kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya.
Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah
mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa
berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberianNya.
Berdasarkan perbincangan di
atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya tulis dalam
perenggan di atas. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar
masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan.
Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh
kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Tanpa kecemerlangan dalam
peperiksaan kerana ini akan menentukan masa depan kita, kita akan hidup
teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar berungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.
LATIHAN 2
Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan
masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan
dalam kalangan masyarakat.
Dalam kehidupan sehari-hari,
keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau memandang hadapan
atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Betapa pun kita
mengasihi adik-beradik dan saudara-mara,
namun jarak yang jauh menyebabkan pergantungan kita terhadap jiran lebih besar
berbanding dengan orang yang dekat dengan kita sejak lahir. Menurut perspektif
Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga menjangkau empat
puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat
kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik,
bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita,
kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara
satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa
mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan
bahawa “Jiran Sepakat Membawa Berkat”. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran
kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa
bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era
globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam
kalangan anggota masyarakat, semakin meluntur.
Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil
langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu bapa
untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat betapa
pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini,
maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak
lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh
komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa
anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama.
Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul
bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat
berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu sama lain dan sekali gus
membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan
dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa
“ tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan
secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan
untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara
bergotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar
aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui
cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran.
Mereka juga sedar akan peranan
masing-masing dalam sesuatu komuniti . Apabila dewasa kelak, anak-anak akan
melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu
bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan
dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah
menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada anak-anak sekiranya
mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa
perlulah mengamalkan cara hidup seperti ‘aur dengan tebing’ atau ‘ ke
bukit sama di daki, ke lurah sama
dituruni’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ untuk mencapai
keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota
dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa
mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap jiran mereka.. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah
bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu hal rumah
tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh
jiran dan cuba membantu mereka supaya
dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini demikian kerana,
dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan
masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat,
maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar
ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan
daripada mereka, mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya.
Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan
menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka.
Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti
mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga
mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena sesuatu
sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan
silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak
bersama. Dalam majlis tersebut,
masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan
lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu
perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan
rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya
masing-masing di negara ini. Sebagai contoh,
majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru
Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan.
Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan
sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu
budaya malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak
dan mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka
mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk
bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah
menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai
langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak.
Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa
yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan
kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan
bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan harmoni
walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh
membawa anak-anak berkunjung ke hospital
jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana
menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk
sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap
mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan ‘ seperti enau di dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa
‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya’, namun sebagai jiran, kita
mestilah berpegang teguh pada prinsip “cubit peha kiri, peha kanan terasa
juga”. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan
penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka
dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil
berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka.
Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri
anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa
bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial
seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari
Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat.
Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai.
Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh
menyertai permainan yang disediakan.
Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang
kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu
sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah
melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan
sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti
Pertubuhan Rukun Tetangga , Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan
Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui
Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi
keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan berlakunya
kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh, merogol, merompak dan
sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur
dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu
antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting
untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial
sebagai langkah untuk memupuk semangat
kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di
atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat
penting untuk melahirkan masyarakat yang
prihatin dan mmmembentuk perpaduan kaum.
Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah
mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk memohon
bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan
dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai
jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik
kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga
akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “ Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu
terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah
dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas,
barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan
meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh.
Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan
semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman,
harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia,
sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
kenal-mengenali”.
LATIHAN 3
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak.
Setiap negara mempunyai
sejarah yang tersendiri. Di Malaysia,
sejarah yang ada telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri
daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun
dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini
merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang
kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat
patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun,
masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan
kepentingan semangat patriotik dalam
diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang
berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh
pejuang bangsa seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan
sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran
yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh
pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat
dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan
menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya
sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya,
ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ,
terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat
menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan
asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam
jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti,
Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan.
Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang
dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi
juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya,
lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti
persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam
jiwa anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga
hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel
bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak.
Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui
lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat
membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku
tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas
menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk
anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku
yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat.
Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik
dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut
hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat
patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi
pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga
haruslah menjadi ‘role model’ atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa
perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan
pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai
contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti
yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai
apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi
seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul..
Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada
anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh
membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah
Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan
sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan
negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan
kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu
meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan
dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat
patriotik. Bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.
Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan
cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah
perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan
lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga menceritakan sendiri
pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa
mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara
kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka
sekarang berbanding dahulu. Hal ini
boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh
melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk
bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak
akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa
teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui
sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa
perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman
diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan negara
bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini
haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa.
Anak-anak akan cuba mengingati setiap
cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu
bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak
yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga
haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari
Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita
Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat
disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya,
apabila anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang,
mendengar deklamasi sajak serta mendengar
cerita-cerita tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk
memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan
kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan.
Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan
seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta
benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti
sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat
peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan
antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan
tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak
menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat
dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di
atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi
ada menyatakan bahawa ‘ tiada anugerah
yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan
budi pekerti yang mulia’. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya
tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak.
Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan
individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.
LATIHAN 4
Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya
hidup sihat. Jelaskan peranan ibu bapa
dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.
Amalan gaya hidup sihat adalah
cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa hadapan.
Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak
aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan
cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang
mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan.
Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung,
obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah
mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah
semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga
mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga
untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Peranan utama ibu bapa dalam
memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan
memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang
seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam
kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air
serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta
bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan
di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang
jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik
ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan
mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan
minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan
apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak
perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli.
Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang
dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga
boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini
bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan
anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya
hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan
keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap
imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah
dilakukan sekurang-kurannya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah
senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan
ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal
pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila
seseorang itu bersenam dan beriadah, mreka dapat meningkatkan kesihatan diri
dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas.
Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama
anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga
perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk
memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak
menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun
dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan
sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit
menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih
baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan
anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik
untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat,
ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang
penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan
anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan.
Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk
amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar
dan melatih anak-anak mereka
mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka
terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi,
mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan
amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka
juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas
kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan
dengan baik agar tidak dihinggapi lalat
mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera.
Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh
membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam
diri anak-anak agar dapat membentuk gaya
hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan
makanan, ibu bapa juga perlu
mendidik ahli keluarga mereka agar
menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu
dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit.
Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah
setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga.
Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman
perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran
mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan
agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya.
Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu
bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar.
Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri
anak-anak mereka sekaligus akan dapat
menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
Gaya hidup yang sihat juga
melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka
dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna
kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka
menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa
digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan
biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan.
Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh
gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa
mengamalkan cara berkomunikasi
berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan ibadat mengikut agama
masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.
.
..........Pada masa yang sama
sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani
tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan
seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya
dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama
tekanan di pejabat ,kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif
daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan
hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun
rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami
boleh menjuruskan ibu bapa pada
perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara
di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat
yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga
kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering meransang
anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat
dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
Tambahan pula, untuk memupuk
amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka
menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun
rakan-rakan. Hari ini kita siha, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika
ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga
akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak
seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan
merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi
ornag yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan
perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang
ditanggungnya. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak
melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama
anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita
menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri
pesakit dan dapat mengurnagkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah
menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya,
amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan
amalan gaya hidup yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani
amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat
rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan
dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan
mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan
sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai
anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam
walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan
berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran
anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan
semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan
satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi
dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa
perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
Berdasarkan perbincangan di
atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk
memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah
penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa
dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan
oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah
mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti,
darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa
yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita
laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata
pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
LATIHAN 5
Menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan.
Apakah peranan ibu bapa dalam
memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita?
Hidup ibarat roda, sekejap di
atas, sekejap di bawah, begitulah lumrah manusia dalam kehidupan. Menjelang era
milieu yang sarat dengan informasi dan teknologi, momentum arus terus bergerak
ke depan dengan tidak berlengah-lengah. Oleh itu, generasi muda perlu berjimat
cermat dan sifat menabung perlu disemai sejak anak-anak masih kecil lagi.
Amalan menabuing ini diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa. Menabung
merupakan tabiat menyimpan wang. Tanggungjawab untuk memupuk amalan ini dalam
sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa perlu
memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam
tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Persoalannya, apakah
peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memastikan amalan ini menjadi
budaya masyarakat kita?
Perkara pertama yang perlu
dilakukan oleh ibu bapa bagi menerapkan amalan berjimat-cermat dalam diri
anak-anak adalah dengan menjadikan amalan ini sebagai budaya keluarga. Hal ini
kerana suasana keluarga merupakan cara yang paling cepat dan efektif bagi
membentuk keperibadian anak-anak. “Anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa
yang bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam”. Ibu bapa merupakan orang
yang pertama berpeluang untuk berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah
dibawa ke dunia ini oleh ibu bapa. Anak-anak datang ke dunia yang
berwarna-warni ini dengan otak yang kosong. Oleh itu, ibu bapa perlulah
mengisikan tempat kosong yang ada dalam minda anak-anak. Dengan kesempatan ini,
ibu bapa boleh menyemai amalan menabung dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa boleh
mengajar anak-anak menabung dengan menyimpan sebahagian daripada wang
perbelanjaan harian sekolah anak-anak. Ajarlah anak-anak berjimat-cermat dan
tidak membelanjakan semua wang perbelanjaan harian yang diberi agar anak-anak
tahu akan kepentingan menabung. Jelasnya, ibu bapa perlu memupuk tabiat ini
dalam kalangan kanak-kanak “sebelum kudis menjadi tokak”.
Selain itu, ibu bapa wajar
menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku prasekolah lagi,
bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sewaktu anak-anak
masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu bapa. Oleh itu,
ibu bapa mudah memberitahu dan mendidik mereka amalan yang berunsur positif
seperti amalan menabung. Anak-anak mudah dipengaruhi ketika mereka masih kecil.
Mereka tidak akan mengingkari nasihat ibu bapa dan mengikut segala ajaran ibu
bapa mereka. Dengan cara ini, amalan menabung, secara tidak langsung, mudah
berakar umbi dalam hati anak-anak. Sekiranya didikan dan ajaran seperti ini
diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah muda tidak akan mempedulikan
ibu bapa lagi dan nasihat ini bagai
mencurahkan air ke daun keladi. Ibu bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa
mereka ke alam fana ini, sekiranya mangajar kanak-kanak bukan tanggungjawab
mereka, siapakah yang mampu bertanggungjawab dalam hal ini lagi? Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan amalan
sedikit demi sedikit dalam jiwa anak-anak sejak kecil kerana sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.
Selain itu, ibu bapa
mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Anak-anak perlu
diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak membazir. Sebagai
contohnya, jenis rumah dan perkakas di dalamnya menjadi penanda aras paling
senang bagi menilai taraf hidup sesebuah keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah
bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan setiap pembelian perlu
dibayar tunai tanpa berhutang. Kadangkala, terdapat keluarga yang sanggup berhutang
bagi membeli perabot dan perkakas rumah yang bergaya supaya mendapat
"pengiktirafan"orang berada oleh orang-orang di sekeliling walaupun
hakikat sebenarnya mereka tidak
berkemampuan .Mereka inilah yang berpegang pada prinsip biar papa asal bergaya.
Jika ada ibu bapa yang menjadikan hal ini sebagai budaya keluarga, diharapkan
mereka dapat menukar perspektif tersebut bagi memudahkan proses penerapan
amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak.
“Adat usang pusaka lama”, amalan
menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus diwariskan secara turun-temurun.
Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan wang dengan cekap. Mereka harus
memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan cara penyimpanannya. Mereka
perlu kerap menggalakkan anak-anak mengamalkan tabiat menabung. Membuka akaun bank untuk anak-anak merupakan
perkara pertama yang boleh diambil bagi menyiapkan anak-anak ke arah
berjimat-cermat. Malah, langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi.
Ibu bapa dapat menaikkan semangat anak-anak untuk menabung dengan meminta
mereka membayangkan wang simpanan yang bakal digunakan untuk masa depan mereka
kelak. Kata orang tua, “semua orang memerlukan pujian”. Dengan hal tersebut,
ibu bapa boleh memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang baik.
Pujian dengan batasan tertentu boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu,
mereka akan menerima nasihat dan ajaran ibu bapa dengan hati terbuka. Mereka
akan belajar pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah ditanamkan.
Dengan itu, ibu bapa harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan
penerapkan amalan menabung sudah terang seperti “murai berkicau hari siang”.
Pada hakikatnya, ibu bapa
berperanan untuk menunjukkan
contoh teladan yang baik kepada
anak-anak. Ibu bapa
sendiri harus mengamalkan sikap
menabung. Mereka harus menabung
wang bersama dengan anak-anak. Ibu bapa perlu menunjukkan kepada anak-anak
bahawa pada setiap bulan, mereka menyimpan sejumlah kecil wang di bank atau
pejabat pos. Perbuatan ibu bapa menyimpan wang akan dicontohi oleh
anak-anak. Anak-anak mudah
terikut-ikut oleh tingkah
laku ibu bapa dan mereka akan
mengikut jejak langkah ibu bapa. Oleh
itu, ibu bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus mengamalkan
tabiat menabung juga. Cuba anda
bayangkan, macam mana anak-anak akan rela hati untuk menabung sekiranya
ibu bapa mereka sendiri seorang yang boros dan tidak pandai
menguruskan wang? Hal
ini jelas menunjukkan betapa pentingnya imej
yang diberikan oleh ibu bapa di depan anak-anak. Pepatah Melayu juga
mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
“Jika berkawan dengan tukang besi,
baju kita akan tercarik terkena percikan api; jika berkawan dengan penjual
pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum”, Kawan merupakan ‘magnet sakti’
yang boleh mempengaruhi anak-anak yang berusia seumur jagung. Ibu bapa harus
menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan dengan mereka yang
kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak mudah runtuh sekiranya
kegembiraan dan kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, “ikut hati mati,
ikut rasa binasa”. Oleh itu, ibu bapa harus mengurangkan peluang anak-anak
untuk bercampur dengan golongan tidak bermoral. Anak-anak mudah terjerumus ke
dalam lembah maksiat. Anak-anak hanya tahu menghabiskan wang dan tidak tahu
betapa susah payahnya ibu bapa memperoleh wang untuk perbelanjaan anak-anak.
Dengan itu, amalan menabung akan dialpakan dan diketepikan oleh anak-anak. Oleh
itu, ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak berkawan dengan mereka yang kurang
bersahsiah.
Sudah terang lagi bersuluh,
ibu bapa memang memainkan peranan dominan dalam memastikan amalan menabung
manjadi budaya masyarakat kita. Pepatah cina mengatakan “Jikalau tiada wang
semua kerja tak terjadi”. Peribahasa Melayu pula menunjukkan “ada padii semua
jadi, ada beras semua deras”. Gambaran ini menunjukkan betapa pentingnya wang
dalam zaman globalisasi yang mengutamakan kebendaan dan material. Kita harus
menyemai sifat menabung dan menjadikan amalan ini sabagai satu tabiat hidup.
Pembentukan generasi muda barakhlak yang merupakan tonggak aspirasi untuk
menerajui negara pada masa depan amat diperlukan untuk merealisasikan kelahiran
masyarakat madani. “Air bersih, ikannya jernih”
LATIHAN 6
Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan
seseorang.
Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak
mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Ibu bapa memainkan peranan yang
penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak, seseorang itu memerlukan bantuan
dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, anak-anak mampu mencipta
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang
amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga. Sekiranya, ibu bapa sering
mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya terabai dan mereka akan
melibatkan diri dalam kegiatan gejala
sosial yang tidak baik. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah
bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya
cemerlang dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu
dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang
cemerlang dalam pelajaran?
Peranan pertama yang dapat
dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang
cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam
situasi yang aman dan bahagia.Anak kunci
keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih
sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi.
Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak membesar
dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan
membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu
bapa atau ibu bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu
kesejahteraan dan pelajaran anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting
dalam mewujudkan rumah tangga yang bahagia agar anak-anak dapat menganggap
“rumahku syurgaku”. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguh-sungguh
tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa
ada tekanan yang berat. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan
anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa
bagi mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran.
Selain itu, ibu bapa juga perlulah bertanggungjawab mengawasi
perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak
dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan
masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi
oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai
prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Anak-anak lebih mempercayai dan
meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga mereka sukar untuk membezakan antara
perkara baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan yang
bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap rokok, mereka juga akan
mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar. Untuk menangani
hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak
mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada
setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata pepatah beringat
sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan
boleh memberikan tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, ibu
bapa perlulah mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan
sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran.
Di samping itu, ibu bapa juga
perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama dan moral yang
secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil lagi,
bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat
sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.
Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala
bentuk kemungkaran yang berlaku. Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang
baik dan yang buruk. Mereka juga akan menjadi anak-anak yang lebih
bertanggungjawab dan memahami peranan mereka sebagai seorang anak dan tidak
akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan agama dan moral yang
cukup ini dapat membantu anak-anak untuk
memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah
memberikan didikan agama yang secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah
menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar supaya anak-anak
boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran.
Ibu bapa perlu memberi motivasi dan galakan terhadap anak-anak untuk
belajar. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah menjadi contoh teladan yang baik
terhadap anak-anak kerana anak-anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka
bak kata pepatah, bagaimana acuan
begitulah kuihnya. Ibu bapa perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan
menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku
rujukan yang lengkap untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah. Selain itu, ibu bapa juga
perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak
belajar. Ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai
kecemerlangan dalam pelajaran. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke
pameran buku, ke kedai buku atau ke perpustakaan. Langkah ini penting kerana
secara tidak langsung anak-anak telah ditanamkan dengan sikap suka membaca.
Situasi ini boleh menimbulkan persaingan dalam diri anak-anak untuk membaca
buku-buku tersebut. Natijahnya, anak-anak akan mempunyai kesedaran dan
keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dalam kehidupan mereka sehingga mereka
berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Tambahan lagi, ibu bapa juga
perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta
bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru
tentang anak-anak. Untuk mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah
anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah sentiasa berhubung dengan pihak sekolah
terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini penting kerana jika anak-anak
menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin, ibu bapa boleh
bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal ini, anak-anak
pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi
oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Selain itu, ibu bapa juga perlu
sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak walaupun
dalam kesibukan bekerja. Ibu bapa
mestilah bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak
meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi
bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak.
Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan
perhatian dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam
pelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu
bapa perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan
selalu berbincang dengan guru-guru lain agar anak-anak mendapat pedoman dan
boleh memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Daripada perbincangan di atas,
dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk
membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa
hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi
bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan
anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan mereka
terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tegasnya, ibu
bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak
khususnya untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.
Latihan 7
Dewasa ini, masalah gejala sosial di negara kita semakin serius.
Huraikan pendapat anda tentang punca-punca yang menyebabkan masalah ini berlaku
dan tuliskan cadangan-cadangan tentang peranan ibu bapa dalam menangani gejala tersebut.
Masalah gejala sosial semakin meruncing
di negara kita sejak akhir-akhir ini. Dalam surat khabar sering dipaparkan
berita tentang golongan remaja yang terlibat dengan gejala sosial ini. Gejala
sosial dapat ditakrifkan sebagai satu kemelut sosial dan kekeliruan yang timbul
dalam kalangan remaja akibat daripada perkembangan sosial, ekonomi dan politik
yang pesat di negara ini. Contoh gejala sosial yang berlaku ialah ponteng
sekolah, remaja lari dari rumah, penagihan najis dadah, vandalisme gengsterisme
dan melepak. Masalah gejala sosial ini telah menjadi perdebatan hangat dalam
kalangan pemimpin sehingga menimbulkan kebimbangan tentang masa depan para
remaja. Menurut Hujatul Islam, Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin,
sekiranya kita ingin melihat masa depan negara, maka lihatlah pada diri
remajanya. Seandainya baik diri remaja maka baiklah masa depan negara.
Sebaliknya, buruk diri remaja maka hancurlah masa depan sesebuah negara.
Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan gejala sosial ini dan apakah
cadangan-cadangan untuk menangani gejala sosial ini?
Salah satu punca yang menyebabkan
gejala sosial ialah ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya dan urusan
seharian. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak dapat memberikan sepenuh
perhatian terhadap rumah tangga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak berasa
dirinya kurang diambil berat dan kurang diberi perhatian oleh kedua-dua ibu
bapanya. Sebagai contoh, ibu bapa tidak mempunyai masa untuk bertanya masalah
anak-anak sama ada di sekolah ataupun di rumah. Apa yang menyedihkan, terdapat
ibu bapa yang tidak bekesempatan langsung untuk berbual-bual mesra dengan anak
kerana semasa keluar untuk bekerja terlalu awal dan apabila balik dari kerja,
hari sudah malam dan ada kemungkinan anak-anak telah memasuki untuk tidur. Ibu
bapa mungkin bertembung sebentar semasa bersarapan. Keadaan ibu bapa yang sibuk
boleh mewujudkan kerenggangan antara ibu bapa dengan anak-anak kerana anak-anak
tidak mendapat sepenuh belaian kasih sayang daripada ibu bapa. Menurut pakar
psikologi, remaja yang tidak mendapat belaian kasih sayang daripada ibu bapa
mudah terlibat dalam masalah gejala sosial seperti ponteng sekolah, melepak dan
menonton video lucah. Jelasnya anak-anak berbuat demikian untuk mendapatkan
perhatian ibu bapa.
Selain itu, masalah gejala sosial
berlaku kerana ibu bapa tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada
anak-anak. Hal ini berlaku disebabkan oleh ibu bapa tidak mengambil berat
tentang didikan agama terhadap anak-anak. Terdapat sesetengah ibu bapa yang
mengharapkan pihak lain terutamanya pihak sekolah dan guru memberikan didikan
agama kepada mereka. Pengabaian pendidikan agama akan menyebabkan remaja tidak
mempunyai asas panduan hidup dengan kukuh. Sebagai contoh, remaja mungkin hidup
dalam keadaan terumbang-ambing. Mereka tidak dapat menilai baik buruk sesuatu
perkara yang dilakukan oleh mereka. Remaja
juga sanggup melakukan apa-apa
sahaja dan mudah terpengaruh dengan situasi yang kurang sihat. Kecetekan
ilmu agama ini menyebabkan remaja kurang kesedaran dan keinsafan diri sehingga menyebabkan mereka mudah terjerumus dalam gejala sosial.
Jelasnya, ibu bapa yang tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada
anak-anak turut menyumbang berlakunya masalah gejala sosial.
Di samping itu, ibu bapa yang
sering bergaduh dan bertengkar di hadapan anak-anak turut menyumbang kepada
kepincangan institusi keluarga sehingga menyebabkan gejala sosial dalam
kalangan remaja. Ibu bapa yang sering bergaduh di hadapan anak-anak boleh
menyebabkan anak-anak berasa bosan dan menghadapi tekanan di rumah. Rumah bagi
anak bagaikan neraka kerana anak-anak tidak dapat menikmati kedamaian atau
ketenangan di rumah. Anak-anak akan menganggap ibu bapa tidak lagi mengambil
berat tentang keadaan diri mereka.
Suasana ketegangan seperti ini menyebabkan wujudnya kerenggangan hubungan
antara ibu bapa dengan anak-anak. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila
kedua-dua ibu bapa bercerai-berai. Apatah lagi sekiranya, ibu bapa tersebut
telah berkahwin lain dan telah mempunyai anak dengan pasangan lain. Anak-anak
hasil perkahwinan yang pertama ini akan menjadi mangsanya. Mereka kehilangan
kasih sayang ibu bapa dan hidup tanpa belaian kasih sayang seorang ayah atau
ibu. Keadaan inj boleh menyebabkan jiwa anak-anak memberontak dan sebagai jalan
keluar, anak-anak mungkin mencari
seseorang untuk meluahkan perasaan dan melepaskan tekanan yang dihadapinya.
Sebagai contoh anak-anak yang kehausan kasih sayang daripada ibu bapa ini akan
mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Keadaan ini boleh
membawa anak-anak atau remaja terjerumus dalam kancah gejala sosial. Tegasnya,
kehidupan rumah tangga yang tidak aman, sering bergaduh dan berpecah-belah turut menyebabkan anak-anak
terlibat dalam masalah gejala sosial.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya
merupakan faktor yang turut mempengaruhi remaja terlibat dalam masalah gejala
sosial. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya biasanya tidak ada tumpuan
terhadap keluarga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak berasa kesunyian kerana
tidak ada tempat untuk mengadu atau menceritakan masalah yang dihadapi oleh
mereka. Oleh sebab itu, anak-anak akan mencari seseorang teman atau rakan
sebaya untuk menceritakan masalah mereka. Remaja yang tidak mendapat kasih
sayang daripada ibu bapa dan tidak mendapat asas didikan agama akan lebih mudah
terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya. Menurut pakar psikologi, anak-anak remaja
lebih mudah meniru, mencontohi dan terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya
kerana mereka mempunyai nilai, sikap, identiti dan perasaan yang hampir sama.
Kumpulan rakan sebaya ini biasanya mempunyai prinsip dan setiap ahli kumpulan
akan akur dan patuh kepada kumpulan tersebut. Kebanyakan remaja berasa bimbang
kerana disingkirkan daripada kumpulan rakan sebaya. Oleh sebab itu, remaja
sanggup melakukan apa-apa sahaja kehendak anggota kumpulan rakan sebaya.
Sebagai contoh, seandainya rakan sebaya mereka melepak atau ponteng sekolah,
remaja tersebut sudah pasti mencontohi kelakuan tersebut. Dalam hal ini,
nasihat ibu bapa tidak akan ambil peduli. Sekiranya, ibu bapa memarahi mereka,
remaja ini sanggup lari dari rumah mengikuti rakan sebaya mereka. Jelasnya
pengaruh rakan sebaya yang tidak baik turut menjerumuskan remaja dalam masalah
gejala sosial.
Untuk menangani masalah gejala
sosial ini, ibu bapa perlulah memberikan sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap
rumah tangga dan anak-anak. Ibu bapa perlulah memberikan kasih sayang dan
mengambil berat tentang anak-anak. Ibu bapa juga perlulah selalu berhubung
dengan pihak sekolah untuk menanyakan perkembangan diri anak-anak dan pelajaran
mereka di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana rumah
tangga yang aman damai agar anak-anak dapat menyatakan “rumahku syurgaku”. Ibu bapa
juga perlulah mengelakkan pergaduhan di hadapan anak-anak supaya anak-anak akan
menghormati mereka. Ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak
agar anak-anak dapat mencontohi kelakuan ibu bapa mereka. Bak kata pepatah “
bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Apabila wujud kasih sayang terhadap
anak-anak, anak-anak akan berasa diri mereka dihargai dan diambil berat. Ibu
bapa yang berjaya memahami jiwa anak-anak dan ditambah pula dengan kemahiran
keibubapaan mampu wujudnya sebuah rumah tangga yang bahagia. Suasana ketenangan
dan dilimpahi kasih sayang dapat menjadi tarikan kepada anak-anak agar tidak
terjerumuskan diri dalam gejala sosial atau terpengaruh oleh ajakan rakan
sebaya yang tidak sihat.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah
memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak sejak kecil. Bak kata
pepatah “ melentur buluh biarlah dari rebungnya” dan “ asas pendidikan bermula
dari rumah”. Anak-anak ibaratkan seperti sehelai kain putih dan ibu bapalah
yang mencorakkan warna pada kain putih tersebut. Oleh sebab itu, ibu bapa
perlulah memberi didikan agama kepada anak-anak agar anak-anak dapat menghayati
ajaran agama dan nilai murni dalam kehidupan. Didikan agama yang sempurna mampu
membentuk keperibadian dan budi pekerti
yang mulia kepada anak-anak. Sebagai contoh, anak-anak akan sentiasa menyedari
akan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak kerana mereka memiliki keinsafan
dan kesedaran diri yang tinggi. Anak-anak akan sentiasa bertutur dengan cara
lemah lembut dan penuh hormat terhadap ibu bapa dan orang yang lebih tua.
Anak-anak yang ada asas didikan agama sentiasa akan menjaga tindak- laku dan
tidak akan meninggalkan solat dan mereka akan membesar sebagai seorang remaja
yang mempunyai pinsip dan jati diri serta tidak akan terpengaruh oleh ajakan
rakan sebaya yang tidak sihat. Jelasnya, didikan agama yang sempurna mampu
melahirkan anak-anak yang keperibadian mulia dan mereka akan berasa malu
sekiranya mereka melakukan sesuatu yang boleh mencontengkan arang ke arah muka ibu
bapa.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah
mengambil berat persahabatan anak-anak mereka dengan rakan sebaya. Hal ini
demikian kerana ibu bapa boleh mengawal disiplin mereka. Ibu bapa perlulah
memastikan anak-anak bergaul dengan
rakan-rakan yang berakhlak mulia. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui
tujuan dan sebab-sebab anak-anak mereka keluar rumah dan balik lewat ke rumah.
Ibu bapa juga jangan terlalu memberi kebebasan yang keterlaluan dalam bergaulan
untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan anak-anak yang
bermasalah di sekolah atau di luar sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlulah
selalu berhubung dengan guru-guru kelas atau guru pelajaran anak-anak mereka di
sekolah untuk mengetahui tingkah laku dan prestasi akademik mereka di sekolah.
Menurut seorang Ahli Fikir Islam, Ibn Sina, “hendaklah setiap ibu bapa
meletakkan anak-anak mereka dalam kalangan anak-anak kelakuannya yang berakhlak
mulia”. Anak-anak yang sentiasa dikawal oleh disiplinnya dan pergaulannya oleh
ibu bapa sejak kecil, anak-anak ini akan membesar dalam suasana yang baik dan
berbudi pekerti mulia.
Berdasarkan perbincangan di atas
dapat disimpulkan bahawa masalah gejala sosial memang merupakan salah satu
masalah yang meruncing dan perlu ditangani segera oleh semua pihak terutamanya
ibu bapa. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlulah bertanggungjawab dan
mengambil berat terhadap anak-anaknya. Saya berharap anak-anak juga perlulah
mempunyai kesedaran dan keinsafan serta tahu menghargai segala pengorbanan yang
telah dilakukan oleh ibu bapa mereka. Tegasnya, masalah gejala sosial perlu
ditangani daripada peringkat akar umbi agar tidak menjadi barah dalam
masyarakat sehingga menjejaskan nama baik negara di persada masyarakat.
Latihan 8
Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan
anak-anak. Oleh itu, pendidikan
anak-anak sebenarnya bermula di rumah.
Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan
sahsiah anak-anak.
Profesor Di raja Ungku Aziz pernah
mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu
bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas
menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang
sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan
anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk
mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa
bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri
anak-anak mereka. Anak-anak ibarat
sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain
tersebut. Persoalannya , apakah peranan
keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ?
Ibu bapa memainkan peranan penting
bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama
yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa melentur
buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa
pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar
anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam
perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk
membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu ,
anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan ajaran agama . Didikan agama
yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak
dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang
mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya .
Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat,
anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong
dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang secukupnya
sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.
Selain itu, ahli keluarga khususnya
ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan
anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang
berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang
yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga
yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik,
sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah
Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi .
Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah
pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan
ahli keluarga yang gemar membaca.
Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik
jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke
bumi menjadi penawar. Pernyataan
di atas jelas menunjukkan betapa
besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan
sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi
anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat
awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan
eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak –anak yang sering mencontohi
perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang
boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa
memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Di samping itu, ibu bapa juga
perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang bagi melahirkan
anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah memberikan
sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh
agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa
perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long
atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua
supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu diajarkan
kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali
menerima bantuan. Ibu bapa juga
hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan
kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama .
Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan
mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan
kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan
warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.
Seterusnya, ibu bapa perlulah
mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus
menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab.
Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju, menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam
almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur
dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk
melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu
bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar
anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros
dalam berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana
akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak
berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh
keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan
generasi masa depan yang berpandangan jauh.
Tegasnya , pembentukan sahsiah
anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak
tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab .
Akhir sekali, ibu bapa perlulah
memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah
meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang
dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya
anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan
rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak
kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala
tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti
yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada
anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh
ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh
menconteng arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti
perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh
bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat
sebelum habis. Ibu bapa perlulah
mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan
mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu
bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan.
Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar
dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik
, ibu bapa perlulah menyedari akan
tanggungjawab untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap
ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu
keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus
bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri
mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan
keperibadian mereka. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk
melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia.
Latihan 9
Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak
remaja belum mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan penting
untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu.
Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai
hasrat tersebut.
Pada era globalisasi ini, ibu bapa
memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca
karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak muda pada era ini, lebih gemar
membaca bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat khabar, novel cinta, komik, majalah hiburan dan
animasi kartun. Majalah atau buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan
seperti buku-buku motivasi, pembinaan kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat,
Solusi, Dewan Budaya, Al Islam, dan Anis
kurang diminati malah ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu akan kewujudan
majalah tersebut di pasaran. Mereka berpendapat bahawa membaca karya-karya
ilmiah dianggap berat dan membosankan kerana memerlukan minda untuk berfikir
sedangkan majalah atau buku-buku yang
berunsurkan hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana pembacaan bagi mereka
hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa pun yang
jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Ibu bapa
merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak yang berilmu, bersahsiah
baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya, apakah modus operandi yang
boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan?
Untuk memupuk budaya membaca dalam
diri anak-anak, ibu bapa haruslah membawa anak-anak ke pesta buku atau pameran
buku seperti Pameran Buku Antarabangsa di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal
ini dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu
bapa membawa anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku akan
bercambah. Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik serta
menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang
disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk
membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu membina
pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk
membaca buku-buku yang berunsurkan keagamaan, falsafah, motivasi dan
sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu pengetahuan
dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk membaca
buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan
pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar.Tegasnya, usaha ibu bapa membawa
anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang
melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat
buku dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Selain itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam
aspek membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah
memulakan budaya membaca di rumah dengan menyediakan persekitaran yang
boleh merangsang minat anak-anak untuk
membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat
khabar pada setiap hari terutama pada
waktu senggang. Perbuatan ibu bapa yang suka membaca pasti akan dicontohi dan
diikuti oleh anak-anak kerana pepatah menyatakan bagaimana acuan begitulah
kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Pada zaman ini, anak-anak
tidak tahu untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah
Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak anak sejak kecil lagi untuk membaca
buku-buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan
bermula dari rumah. Ibu bapa boleh melakukan aktiviti membaca bersama anak-anak
pada hari cuti sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, Ibu
bapa janganlah menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan
diri sendiri tidak betul. Sekiranya, ibu
bapa tidak pernah membaca bahan-bahan ilmiah, bagaimanakah anak-anak hendak
membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan suka membaca apabila melihat orang
tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak kerana anak-anak akan
menjadikan membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja mereka pergi bak kata
pepatah kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke
udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, Ibu bapa perlu
menambahkan sumber bacaan dengan membeli banyak buku atau majalah yang yang mengandungi ilmu
pengetahuan yang boleh mengembangkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa membaca jambatan ilmu. Apabila anak- anak banyak membaca, sudah
tentu pengetahuan mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah
membeli bahan bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan
Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam dan Solusi selain surat khabar yang dibeli
secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk membaca
buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan yang dibeli
oleh ibu bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti pasti
akan bercambah dalam jiwa mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan budaya
membaca, pasti dapat membina jati diri unggul, mempunyai minda sihat,
berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Selain itu,
ibu bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari lahir atau hadiah
sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan sebagai ganjaran.
Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku motivasi sempena hari
lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri anak-anak. Mereka akan
belajar bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu bapa. Amalan seperti ini
akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia buku. Tak kenal maka tak
cinta.
Seterusnya ibu bapa juga hendaklah menggalakkan
anak-anak membaca buku dengan cara
mendaftar anak mereka menyertai kelab buku.
Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-anak akan menyertai pelbagai
aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang terkini. Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi
ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku,
mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku . Secara
tidak langsung, anak-anak juga dapat membezakan bahan bacaan yang bermutu dan
bahan bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti memilih bahan-bahan yang
berkualiti kerana boleh mematangkan minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat
atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak
menyertai Kempen Galakan Membaca dan Kembara Buku yang dianjurkan oleh
pelbagai pihak. Dengan menghadiri kempen-kempen
membaca, anak-anak bukan sahaja
mendapat kesedaran tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh
manfaatnya. Tegasnya, ibu bapa perlulah
membawa anak-anak menghadiri kempen-kempen membaca dan menggalakkan anak-anak
menyertai ahli kelab buku agar anak-anak
membaca bahan-bahan ilmiah yang dapat membentuk anak-anak menjadi insan
yang mulia dan disanjung tinggi.
Selain itu, ibu bapa boleh membina perpustakaan mini yang
mengandungi bahan-bahan ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis buku ilmiah
seperti novel karya agung, kamus,
buku- buku agama, dan buku motivasi diri
selain buku pelajaran dan buku rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat
anak-anak untuk membaca buku-buku yang
disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan
memastikan anak mereka membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan
mini di rumah. Anak-anak juga
digalakkan untuk membaca surat
khabar atau majalah ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada setiap minggu. Hal ini akan menyebabkan masa
lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca tanpa perlu keluar rumah.
Perpustakaan mini yang disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan modal yang
banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan
dalam perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang kali
dapat menguatkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa yang
membaca, bangsa yang berjaya. Apabila
anak-anak sudah biasa didedahkan untuk membaca surat khabar pada setiap hari dan sebuah buku pada setiap
minggu, anak-anak akan biasa berbuat demikian
dan menjadikan membaca
sebagai amalan rutin harian kerana alah
bisa, tegal dek biasa. Mereka akan selalu membaca apabila ada
masa terluang dan mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas. Tambahan
pula, jika ibu bapa mempunyai waktu terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak
ke perpustakaan awam yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku
yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-anak
pergi ke perpustakaan awam, mereka dapat membaca buku dalam keadaan yang
senyap, aman, damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak
mereka ke perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Tambahan lagi, ibu bapa juga
boleh memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah dengan membimbing anak-anak
mereka melayari internet. Internet merupakan sumber ilmu yang boleh digunakan
oleh semua lapisan masyarakat. Namun, terdapat remaja yang yang menyalahgunakan
internet seperti melihat gambar-gambar lucah. Dalam konteks ini, ibu bapalah
merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak
melayari internet untuk mencari judul
buku ilmiah yang terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai buku
berhampiran. Hal ini dapat menggalakkan
anak-anak membaca karya-karya ilmiah supaya boleh melahirkan generasi yang
cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-bahan ilmiah
boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang
terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapatlah saya simpulkan bahawa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan, ibu bapalah yang memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak
membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam
kalangan anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka
cerdas. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak
mereka. Jika anak-anak sudah jatuh cinta
dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang luas
di depan mereka pada masa depan. Ibn Khaldun
dalam karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata bahawa kekuatan ilmu
bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah
memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan.
Latihan 10
Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang
berguna.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk
memastikan harapan mereka itu tercapai.
Anak-anak yang sihat serta
memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman setiap ibu bapa. Dalam hal
ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan hal tersebut. Setiap
ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna kepada agama,
bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan impian itu dengan
mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling optimum. Jika hal
ini dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang berguna akan dapat
direalisasikan. Persoalannya,apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu
bapa untuk memastikan harapan mereka tercapai?
Usaha paling asas yang wajar dilakukan
oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna
ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih sayang. Ibu bapa
haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang
mereka. bu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada berbentuk luahan kata
dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak berasa diri mereka
diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa haruslah
memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan hadiah
ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat
keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah kata yang positif
daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan dorongan serta motivasi
kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan kerana pepatah
menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan.Kajian menunjukkan bahawa punca
kebanyakan anak menjadi sampah masyarakat adalah kerana keadaan rumah tangga
yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang materialistik dan
mementingkan kerjaya .Sebagai contohnya,banyak ibu bapa yang menyerahkan
tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini
menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan perkara-perkara
negatif. Tegasnya,anak-anak akan menjadi insan yang berguna kepada keluarga,
masyarakat, agama, dan negara jika keluarga yang saling berkasih sayang dan
mengambil berat dapat diwujudkan.
Selain itu,untuk memastikan
anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa perlu menyediakan kediaman
yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi keselesaan anak-anak. Ibu bapa
perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai supaya anak-anak berasa
tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan
pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan kata-kata
yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan dan nasihat daripada
ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah
menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur
yang mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik untuk anak-anak
menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang
tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan
sesetengahnya tidak pulang ke rumah. Amalan melepak ini mendedahkan anak-anak
kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah dan
sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di
kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan
kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan
anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi keluarganya.
Di samping itu, untuk memastikan
anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap ibu bapa haruslah memberikan
didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana
pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya
dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang sempurna dapat
membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping membantu mereka
mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat membantu
anak-anak untuk membezakan baik atau
buruk sesuatu perkara dan anak-anak membesar dengan berpandukan ajaran agama.
Sebagai contoh, jika keluarga tersebut berasal dari keluarga yang baik,
kebiasaannya keturunannya akan baik. Jika ibu bapa mempunyai pegangan didikan
agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik
kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan
begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak dapat mengawal
diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan
sebagainya.Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian
ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna.
Seterusnya, untuk memastikan
anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang
terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu
bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka tidak
menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti
ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu “bapa borek anak rintik” sudah jelas
membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan
anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu
bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi
suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab. Oleh
itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan
penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian
kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa
hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar
anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.
Tambahan lagi, ibu bapa perlulah
bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada orang lain berkaitan dengan
tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka. Sebagai ibu bapa yang
bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka menjadi insan yang berguna,
ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka apabila orang lain
memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu bukanlah untuk
memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan yang telah
dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini, falsafah “menjaga tepi kain
orang lain” dalam masyarakat adalah
untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya secara positif.
Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah segera membetulkan
kesilapan anak dan mencari punca anak mereka berbuat kesilapan sedemikian rupa
agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jadi, untuk membentuk
anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan teguran orang
lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna” atau “sudah terhantuk baru terngadah” sewajarnya
menjadi panduan kepada ibu bapa.
Akhir sekali, ibu bapa perlu
sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada dalam aspek
kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap prihatin dan ambil berat
ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri mereka diutamakan. Untuk tidak
mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha meningkatkan kecemerlangan sama
ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum. Hubungan ibu bapa dengan
guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak. Sebagai
contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan guru di sekolah
sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran. Ibu bapa perlu
sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti perkembangan kemajuan anak-anak
dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin sekolah berkaitan
akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu
mengawasi tingkah laku anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan
mereka. Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak sebab-sebab anak-anak
keluar rumah atau pulang lewat. Tuntasnya,ibu bapa perlu memantau perkembangan
pendidikan dan sahsiah anak-anak agar mereka jadi insan yang berguna apabila
dewasa kelak.
Berdasarkan berbincangan di atas,
dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang
berguna memerlukan pengorbanan dan kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak
menjadi seorang insan yang berguna bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini
perlu dilakukan melalui proses pendidikan sedikit demi sedikit dan dengan penuh
kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan
oleh ibu bapa secara istiqomah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang
berguna.Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak mereka dapat memberikan
sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan maruah keluarga.
Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka jadi sampah
masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang sumbangan kepada
masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan keluarga kita.
Latihan 11
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan
mereka itu tercapai.
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak
berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa hasrat semua
ibu bapa di dunia ini adalah sama. Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia
yang melahirkan kita dan membesarkan
kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka merupakan orang yang paling banyak berkorban
demi kesejahteraan hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa,”Tiada
anugerah yang lebih berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya
kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan
betapa besar pengorbanan ibu bapa dalam
mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.
Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan
pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa bersedia untuk membalas budi mereka agar
kita tidak dianggap sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit. . Satu
perkara yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi
harapan ibu bapa terhadap kita agar berjaya dalam hidup. Persoalannya, apakah
usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai?
Usaha pertama yang perlu saya lakukan
untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai ialah saya akan belajar
bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan
menumpukan sepenuh perhatian semasa guru
sedang mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya
akan bertanya kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa
kecemerlangan dalam bidang akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa
hadapan seseorang kerana mereka yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai
masa hadapan yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat
membanggakan kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi ini yang
penuh dengan persaingan ini, amat
penting bagi seseorang mencapai
kecemerlangan akademik untuk bersaing dengan orang lain terutamanya dalam alam
pekerjaan. Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan pencapaian
akademiknya. . Saya akan sentiasa
berusaha untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan kegembiraan setiap
kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan
yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan
dengan cemerlang kerana di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan.. Pada masa yang sama,saya
juga akan memberi perhatian pada perkara yang berkaitan dengan ilmu selain
bidang akademik. Hal ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan akademik
bukanlah segala-galanya.Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam pelbagai
bidang.Tegasnya,saya akan belajar dengan tekun dan berusaha dengan gigih bagi
menunaikan harapan ibu bapa.
Selain itu, saya juga akan sentiasa
mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Saya akan
mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak berputus asa dan
beryakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan. Hal ini demikian kerana saya sedar bahawa
orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang
akademik, malahan perlu menjadi seorang
yang cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi iaitu mempraktikkan
konsep JERI yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai
contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa,
guru-guru, jiran tetangga dan orang di sekeliling saya. Amanat ini
bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan saya dengan orang lain malah dapat
membina personaliti yang luhur dalam diri saya. Saya juga akan sentiasa
menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti mengucapkan selamat
kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki
ini pasti akan menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata
pepatah, “ahklak yang baik seperti madu, sentiasa manis dan berkhasiat”. Saya
akan membuang sikap malas dalam diri agar tidak menghampakan harapan ibu bapa
saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi penghias diri dan berjalan seiring
dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu ingat bahawa sekiranya ahklak
seseorang itu buruk,,walau betapa cemerlang pun pencapaiannya dalam akademik
tidak akan dihormati dan disegani. Jelasnya,amalan berbudi bahasa amat penting dalam
menentukan kejayaan seseorang individu.
Seterusnya, saya juga akan sentiasa
berpegang teguh kepada ajaran agama
sekiranya ingin berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh membolehkan saya mempunyai benteng keimanan
yang kukuh dan ampuh bagi mengelakkan
diri saya daripada pengaruh negatif yang dapat menjejaskan kehidupan
saya. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri
yang utuh untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke
kancah maksiat. Hal ini kerana Tuhan sentiasa menyeru hambanya untuk melakukan sesuatu yang baik serta
menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan
keyakinan diri saya dan membolehkan saya mempunyai matlamat yang jelas dalam
hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya pada masa hadapan. Pendidikan agama yang saya
peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya menjadi seorang yang
positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang
tidak baik. Sebaliknya, saya akan sentiasa
menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga.
Tegasnya,saya akan berpegang teguh kepada ajaran agama agar dapat
mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.
Di samping itu, saya akan bergaul
dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk menjadi seorang yang
berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan
dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam
gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata dan
sentisasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui
pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat
bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai
kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih
memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung,
pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada
perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam
pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya
akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri
saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa
tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga
dapat bergantung kepada rakan–rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya
untuk menghadapi dan menyelesaikan
sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat membantu saya untuk membangkitkan
diri saya semula dengan memberi dorongan
dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri
diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan
stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial
apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan
bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap
langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya agar dapat memenuhi
impian dan harapan ibu bapa.
Seterusnya, saya akan meningkatkan
keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibn. Khaldun pernah berkata bahawa
“membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu bangsa
dan sesebuah negara”.Hal ini jelas
menunjukkan bahawa membaca adalah amat penting dalam menentukan kekuatan dan
kejayaan seseorang individu. Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan
pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan
tahap pemikiran diri saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai
serampang dua mata kerana selain boleh membantu saya dalam bidang akademik,
usaha tersebut juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu
pengetahuan luas. Secara langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan.
Saya juga akan cuba memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan.
termasuk mengatasi sikap malas. Saya
akan mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi seorang
yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga kejayaan. Saya berharap agar perubahan yang saya
lakukan ini dapat membolehkan diri saya mencapai harapan ibu bapa iaitu berjaya
dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam
pekerjaan kelak, saya akan mencari pekerjaan yang stabil dan membalas
budi mereka.
Akhir sekali, saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa
kerana Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu
bapa. Saya akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan
kerana saya sedar bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga
sedar bahawa tanpa doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya
sekali pun, saya tidak mungkin akan mencapai impian serta kejayaan dalam hidup
saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan
garam daripada saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas
dalam masyarakat dan dunia luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima
pandangan mereka agar diri saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin
mengakibatkan saya berasa menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan
punca tenaga dan dorongan saya untuk mengejar
impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa
mereka, saya tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya.
Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian
saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak
akan berlaku ke atas diri saya.
Berdasarkan perbincangan di
atas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk mencapai impian dan
kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-sungguh
untuk mencapai kejayaan.. Saya akan berusaha memastikan agar impian dan
cita-cita saya tercapai dan sekali gus,
saya juga dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa saya. Charles Dickens pernah berkata bahawa
“kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan melalui hutan rimba.”
Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi manusia
boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka
sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk
menjadikan impian dan cita-cita sebagai
kenyataan kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Latihan 12
Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang
dapat anda lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah
anda.
Pusat Sumber sekolah merupakan
gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi yang diperlukan
oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang
mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada
media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana
para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan,
bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat
sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya
membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan
bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah
usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber
sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah saya
akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik.
Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas
kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber akan diadakan secara berkala agar pusat
sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih . Saya juga akan memastikan
buku-buku disusun atur dengan kemas di
atas rak-rak buku mengikut kategori dan
jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini
dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji
pelajaran di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik
mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru
pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk meningkatkan penggunaan pusat
sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu mencari dan menyediakan
buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program
Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal
ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga
menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah
satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan
amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan
melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu
akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata
peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan program Nilam yang
berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi pusat
sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan
kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber.
Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan
kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan
meminta pihak pengurusan menyediakan
komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari internet
bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini.Saya akan membantu dari segi penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik.
Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat
meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan
pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak
langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan
para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di samping itu, sebagai pengawas
pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan semasa
menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah
tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung
menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata peribahasa budi
bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada
pengawas menggembirakan para
pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar
mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak sekolah mempromosikan
buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu
bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya mereka lewat
atau sengahaja tidak memulangkan buku yang
dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga,
saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan sistem pinjaman
buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat
sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan
pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan
sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku
akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan
buku yang dilakukan secara ‘ scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem
pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu
menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah
sistem pinjaman yang sistematik dan efektif
adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah
menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi
membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang
pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah minda. . Semua pihak perlulah
berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak
kata peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Latihan 13
Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan
permainan tradisional di negara kita.
Pada zaman pascakemerdekaan ini,
arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan permainan
tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita
daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan
budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh yang
tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis
permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara
jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah
panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan
sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh
generasi muda. Hal ini membayangkan
bahawa permainan tradisional berkenaan
akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya
dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah
peranan yang seharusnya saya mainkan dalam usaha memartabatkan permainan
tradisional di negara kita?
Usaha pertama yang saya lakukan
untuk memartabatkan permainan tradisional adalah dengan memupuk minat diri
sendiri terhadap permainan tradisional.
Remaja pada masa ini banyak terdedah
dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap
permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai generasi muda, saya harus sedar bahawa
saya berperanan memartabatkan permainan tradisional. Hal ini
boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi
berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang
permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan
tradisional yang ada di negara kita. Terdapat
banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan
tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran
dalam diri sendiri untuk memartabatkan
permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan moden yang
semakin popular dalam kalangan remaja.
Selain itu, usaha yang boleh saya
lakukan adalah dengan menjadikan
permainan tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan
dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi
menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan
yang lebih tua tentang cara-cara
permainan tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan
memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat
memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan
dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai
remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh
rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya lebih baik mengisi masa dengan bermain
permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda masa ini.
Di samping itu, bagi memartabatkan
permainan tradisional, saya sebagai
pelajar sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar
permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum.
Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan
permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di
sekolah. Hal ini secara tidak langsung
akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya juga akan
menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat
sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara
aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan
bermain congkaka dan demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih
berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja
terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan
tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta
amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai
permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara
semula jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah
memartabatkan permainan tradisional.
Usaha yang seterusnya ialah saya
sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya terutama permainan
tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan tradisional merupakan
budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara
agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk
dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja
masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan
tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan
menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga
yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah
mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah
pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat
Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional akan memupuk
juga rasa cinta terhadap negara
Kesimpulannya, remaja hendaklah
berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus
terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan
generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta
bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan
dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh
saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara
dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai
dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Latihan 14
Semangat Kejiranan dalam kalangan rakyat di egara ini semakin
longgar.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh
pelbagai pihak supaya semangat kejiranan
dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan?
Jiran ialah orang yang tinggal di
sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan dan juga di belakang rumah
kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di sebuah egara yang sama, mereka
akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana
merekalah yang akan menjadi sahabat kita
dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti.
Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran sepakat membawa berkat”. Jadi, kita
perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam
melakukan sesuatu perkara. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar
diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat?
Langkah primer yang harus
diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan menjalankan kempen-kempen kejiranan
yang bersesuaian di semua peringkat sama ada peringkat daerah, negeri atau
kebangsaan.Tujuan kempen ini adalah untuk menanam semangat perpaduan dan
bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh
Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan semangat perpaduan
antara kaum di Malaysia.Usahasama sebeginilah yang wajar diambil contoh dan
diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan
yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan ini perlulah berterusan dan
janganlah seperti “hangat-hangat tahi ayam” sahaja. Jelasnya,kempen yang
dijalankan ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk memupuk
semangat kejiranan.
Selain itu, langkah yang harus
diambil ialah masyarakat setempat perlulah mengadakan aktiviti gotong-royong.
Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil
berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan
berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain
yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka
dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang
mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang
boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri kendara dan sebagainya. Melalui cara ini,
kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan egara jiran. Malahan, menurut
laporan majalah ‘The Times’ di Australia. kegiatan gotong-royong yang diamalkan
di Malaysia merupakan antara aktiviti yang terbaik di dunia.
Di samping itu, peranan media
massa merupakan langkah yang amat penting dalam meningkatkan semangat kejiranan
dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah boleh digunakan dalam
menyuburkan semangat kejiranan.Media cetak misalnya boleh menyiarkan
artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan .Media elektronik pula
boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui
media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan
mudah .Sesungguhnya,berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih
mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh,
usaha Majalah 3 menyiarkan ‘Colour of Malaysia’ wajar disokong.
Justeru,semangat “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah” ini wajar
kita tonjolkan melalui media massa.
Seterusnya, setiap penduduk
hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan
perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh
semangat kejiranan dalan kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka,
jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat.
Seterusnya ,melalui rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang
untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh
tuan rumah. Sebagai contoh, sambutan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya
Aidilfitri, Tahun Baru Cina,Krismas, Deepavali dan sebagainya hendaklah
dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli
masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.
Di samping itu, Jawatan Kuasa
Kampung dan Jawatan Kuasa Taman juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari
Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat.
Semasa aktiviti Hari Keluarga diadakan,s emua ahli keluarga jiran akan turut
serta melibatkan diri dalam aktiviti berkayak, memasukkan air ke dalam botol
,terompah gajah dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan,
kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak
juga.Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang
bola egara, taman rekreasi atau padang sekolah yang berhampiran .Jadi, melalui
aktiviti ini, hubungan yang erat egara jiran dapat dibentuk yang secara tidak
langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain
seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu,”ke bukit sama didaki, ke lurah
sama dituruni”.
Tambahan lagi, kerajaan juga
harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti egara seperti
persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan
yang mempunyai satu egara organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan
ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak
pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga,
Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan
sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat
setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan
kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam
peribahasa Melayu,iaitu “ibarat aur dengan tebing” yang mementingkan semangat
sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
Akhir sekali, masyarakat
mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam kalangan rakyat sebagai
langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup
bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini,
kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita.
Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita
bahawa jiran kita dimasukkanke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau
kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “berat mata memandang
berat lagi bahu memikulnya”, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang
kepada prinsip cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika
kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala
kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya, kita perlu
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era
globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang
lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau
dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat
kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan egara. Ada
pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”. Oleh
itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan
teguh. Jadi,dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan
semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya egara kita sentiasa aman, harmoni
dan sejahtera.
LATIHAN 15
Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting bagi menggalakkan anak-anak menggunakan barangan buatan
Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap
anak-anak dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.
Sebagai sebuah negara
membangun yang akan menuju ke arah negara maju menjelang 2020, Malaysia
sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta
produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita agar tidak lagi
mengagung-agungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini sudah
setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk
keluaran negara kita dijamin lebih baik. Walaubagaimanapun, masih ramai lagi
yang tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar
barangan buatan negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya
mempunyai cita rasa yang tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah
peranan ibu bapa dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting yang
perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu bapa perlulah menjadi role model
kepada anak-anak mereka kerana anak-anak
akan sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada
mengatakan bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan
yang paling dikagumi kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan
anak-anak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap,
ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang
indah dan bersinar. Walau bagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti
ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan
anak-anak hilang rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa
haruslah membeli kereta buatan Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar,
barangan elektrik seperti Panasonic, Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa
haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan menyokong barangan
buatan Malaysia yang berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah
memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana
semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya mereka
terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Ibu
bapa juga boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui mata
pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan negara, taat
setia kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk negara kepada
generasi muda kita. Ibu bapa patut menyeru anak-anak untuk mencontohi
warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli
barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua
artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan
Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana
Menteri Malaysia yang keempat malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan
mencontohi sifat baik negara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan
negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah diterapkan semangat cinta akan negara
dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka
dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan
pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara
kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka
suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.
Di samping itu, peranan yang boleh
diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa membawa anak-anak ke pameran barangan
ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak ke Karnival
Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia
dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival sebegini telah ditetapkan
hanya barangan Malaysia yang mempunyai tawaran potongan harga yang
istimewa. Sebagai contoh, kraf tangan
dan batik, yang merupakan budaya yang menggambarkan
tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai barangan
tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri.
Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa
haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah merupakan
barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis
pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak
menyertai pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan
menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat
mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan
Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa,
tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan
Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah
menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia kepada anak-anak mereka
supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya, menyokong dan menggunakan
barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak tentang
kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja kualitinya setanding
dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga cukup murah untuk
dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-kempen yang telah
diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak untuk
memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan
Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah barangan tempatan dari sudut
pemikiran juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus
diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membinakan semangat
Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan
tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting dalam menerangkan
manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada anak-anak supaya mereka sedar
dan bijak memilih benda yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang merupakan insan terdekat kepada
generasi muda kini mestilah memainkan peranannya yang amat penting dalam
menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan menggunakan barangan buatan
Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita bukan sahaja mengimport
barangan luar negara malah juga mengeksport barangan buatan Malaysia dapat
dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada
barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik.
Walalau bagaimanapun, usaha daripada ibu
bapa semata-mata adalah tidak mencukupi.
Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia Menjana
Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai satu
bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan
Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang
tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.
LATIHAN 16
Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini
semakin berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk
menarik minat orang ramai membaca karya sastera
Pada zaman berteknologi tinggi
ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki sebuah komputer untuk mendapatkan
maklumat daripada internet berbanding mencari maklumat atau membaca daripada
buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca karya-karya sastera dalam
kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah lupa dan tidak kenal
akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti Usman Awang,
Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh dipandang remeh
kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa yang menunjukkan
identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya sastera ini perlu
disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah
langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai untuk membaca karya sastera?
Langkah-langkah yang perlu diambil
oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera
termasuklah peranan pihak sekolah khususnya Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber
Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan karya agung seperti novel ‘Ranjau
Sepanjang Jalan’ oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’ oleh A.Samad Said, ‘Saudagar
Besar Dari Kuala Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad dan ‘Tulang-tulang Berserakan’
oleh Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang untuk membacanya. Pusat
sumber boleh mengadakan pertandingan mengulas novel, sajak, puisi dan pantun
pada setiap bulan. Langkah ini membolehkan
para pelajar untuk membaca karya-karya sastera memandangkan mereka ingin
menghasilkan ulasan yang menarik. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap
karya sastera akan semakin bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan
setiap kelas menyediakan satu ruang atau
sudut membaca di kelas bagi memudahkan pelajar untuk menghayati karya sastera
ketika guru tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan
yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap karya sastera.
Selain itu, peranan ibu bapa juga
amat penting dalam mengambil langkah untuk menarik minat anak-anak membaca
karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang karya sastera
kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera ralyat kepada anak-anak
sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan silaturahim antara ibu
bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah anak-anak dapat
mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu, ibu bapa
bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya mereka
dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi masa
lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel yang sesuai kepada
anak-anak mengikut umur mereka. Ibu bapa
juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu
membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu
bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai
bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional
dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk
membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu, media massa
turut memainkan peranan yang penting dalam mengambil langkah menarik minat
semua lapisan masyarakat membaca karya sastera. Sebagai contohnya, pihak media
boleh mempromosikan karya sastera kepada masyarakat melalui radio, televisyen
dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan masyarakat dapat mengetahui cara
untuk mendapatkan karya sastera di pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga
boleh menyiarkan sudut sastera atau ulasan karya sastera yang agung di akhbar
dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk
mengenali karya sastera di negara kita dengan lebih mendalam. Tambahan pula,
pihak media turut boleh menganjurkan peraduan teka teki atau menulis sajak dan
syair yang bertemakan karya-karya sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil
langkah untuk menarik perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.
Seterusnya, pihak kerajaan haruslah
mengadakan pameran karya sastera dan kempen menghayati karya sastera di seluruh
pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang untuk mengenali
karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula, pihak kerajaan boleh
membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi memudahkan rakyat untuk
membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk dibaca. Pihak kerajaan turut
boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai penerbitan karya
sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku tersebut agar semua rakyat
khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki karya-karya
sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan turut memainkan
watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik minat orang ramai
membaca karya sastera.
Akhir sekali, pihak-pihak NGO
seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih banyak karya sastera supaya
karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit boleh bekerjasama
dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre sastera. Penerbit
juga perlu memberikan bayaran setimpal
dan berpatutan kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan
untuk melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu
yang bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para peminat berkongsi pendapat bersama dengan penulis.
Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun
dan bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan
karya sastera yang bermutu.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas tanggungjawab yang berat dalam
usaha untuk menghidupkan minat orang ramai membaca karya sastera. Masyarakat
pula harus bersikap berhati terbuka
supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan
seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah mencintai
dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa dan
mencerminkan identiti kita.
LATIHAN 17
Usaha berterusan membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan
satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan
berkesan kepada negara.
Pada pendapat anda, apakah
usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini?
Orang Kelainan Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang
dewasa yang cacat keadaan fizikal atau
mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan
fizikal dan mental ini menghalang
mereka dari melakukan aktiviti-aktiviti
normal seperti sosial, rekreasi ,
pelajaran dan pekerjaan. Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) secara umumnya
dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kurang upaya secara kekal
dan kurang upaya secara sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada , masyarakat kurang upaya ini tidak harus
dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada negara. Oleh sebab
itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU meneruskan kehidupan dengan sempurna.
Antara usaha yang dapat
dilakukan ialah masyarakat perlu menerima kehadiran golongan kurang upaya ini
seadanya dan membantu mereka menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini
kerana masyarakat perlu sedar bahawa OKU
tidak meminta dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah mempunyai hak
untuk hidup sama seperti orang lain. Golongan Kelainan Upaya (OKU) haruslah diberi
layanan yang baik kerana mereka turut mempunyai perasaan yang sama seperti
insan lain. Mereka tidak suka dipandang rendah dan dianggap tidak berguna.
Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa dalam keadaan-keadaan
tertentu seperti membantu mereka melintas jalan, memberi tempat duduk di dalam
kenderaan awam dan sebagainya. Dalam hal
ini, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai
murni seperti kasih sayang, simpati,belas kasihan dan tolong menolong agar
mereka dapat membantu OKU dengan seikhlas hati.
Selain itu, media massa sama
ada media elektronik atau media cetak juga berperanan penting dalam membantu
golongan kurang upaya ini. Pihak media massa perlu menyiarkan artikel dan
rancangan khas tentang OKU kepada segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3
seperti Bersamamu kerap kali memaparkah kisah sedih dan pilu OKU untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan
ini , perasaan masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud
perasaan simpati dan terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung
khas disediakan oleh pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan
kewangan kepada OKU. Oleh hal yang demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat
simpati berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka.
Selain itu, kerajaan juga pula
dapat membantu OKU dengan memberi
peluang kepada mereka untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai
bidang . Golongan Kurang Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti latihan kemahiran
seperti membaiki kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan
kraf tangan di Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan
Orang Cacat(JARO) dan lain-lain institusi. Di sini ,OKU dilatih dalam pelbagai
bidang kemahiran supaya mereka dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan
gaji atau berniaga sendiri . Setelah
mantap dalam bidang pekerjaan, mereka akan duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi dengan orang lain membantu negara dan tidak lagi menyusahkan orang
lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan keluarga.
Tambahan pula, pihak kerajaan
juga turut membantu OKU dengan memberikan bantuan dan elaun dalam bentuk wang
ringgit , makanan dan minuman, pakaian ,
tempat tinggal, peralatan pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari
kerajaan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan
sebagainya. Bantuan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU malah
dapat mengembirakan hati mereka dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh
golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini demikian kerana rata-rata golongan
ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan dengan itu,
pihak kerajaan telah berusaha memberi
bantuan modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan sokongan
daripada persatuan masing-masing. Oleh
itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan golongan
ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada
orang lain.
Selain itu, pihak kerajaan
juga menyediakan peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih
tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang
berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang
menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini
mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan
pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau
kaota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU
yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan
lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih
baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu.
Di samping itu, pihak swasta
pula digalakkan mengambil pekerja OKU untuk berkhidmat dalam syarikat mereka.
Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan
kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah
ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani
dimana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja.Selain
itu, usaha murni Pasaraya Besar Carrefour yang telah mensasarkan 5 peratus
daripada pekerjanya ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka memberi
peluang kepada OKU dan membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan
keluarga mereka.
Kesimpulannya, golongan OKU sangat
memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri
mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut
semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu
menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu
golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara
menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai
diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.